Monday, May 18, 2009

Mat Rempit Satu Gejala Fobialistik dan Sejarah


Apabila gejala Mat Rempit mula diperkatakan sekitar akhir tahun 1990-an, persoalan demi persoalan diutarakan dan dijawab oleh kalangan pemikir berprofilkan ahli politik, ahli akademik, sehinggalah ahli kedai kopi di ceruk kampung sekalipun. Walaupun dipersoalkan, dihujah, dikaji dan diperdebatkan masih lagi belum mendapat satu noktah persefahaman yang memungkinkan untuk pemasalahan ini dirungkai.

Matlamat penulisan ini bukan untuk memanjangkan sebarang huraian kes-kes mat rempit, tetapi lebih kepada penggunaan terma 'mat' rempit itu sendiri. Sekiranya kita prihatin dan lebih telus dalam menerima sesuatu masalah, pasti kita tidak akan terlepas pandang terhadap penjajahan minda ini. Pengkhusuan coretan ini hanya berkisar kepada kehidupan sosial dan paradigma bangsa Melayu dan secara am buat seluruh rakyat Malaysia.

Penggunaan kata ringkas Mat sebagai kata ganti nama di hadapan kata sifat. Contoh paling jelas Mat Rempit, Mat Romeo, Mat Pit, dan macam-macam Mat lagi. Pada dasarnya penggunaan kata Mat yang merujuk kepada seorang lelaki atau golongan adalah bersifat positif, tetapi akibat manipulasi media dan orang ramai, sepertinya perkataan Mat seolah-olah hanya menggambarkan sesuatu yang negatif semata. Seterusnya penggunaan kata Mat terus berkembang sehingga melangkaui batas kaum dan usia. Tanpa menyedari penggunaan 'Mat' ini menyongsang fahaman lebih-lebih lagi buat generasi baru.

Betulkan saya jika salah, ringkasan Mat diambil dari nama Muhammad. Satu nama mulia yang tiada satu bangsa akan pertikaikan. Sehingga kini, nama Muhammad lebih sinonim dengan Junjungan Besar Rasul umat Islam, individu no. 1 paling berpengaruh di dunia dalam lipatan sejarah peradaban manusia. Sedih apabila nama ini lebih sinonim pada hari ini untuk merujuk kepada sikap dan sifat akhlak yang mazmumah, menjadi akronim pada amnya untuk sebuah nama yang dianggap mulia.

Tambah menyedihkan apabila nama ibu baginda Aminah juga menerima nasib yang sama, minah Bohsia, minah Rempit, minah kilang dan berbagai lagi merupakan rentetan isu yang sama. Jika dilihat dari sudut bahasa kita mungkin tidak akan menempelak sesiapa kerana berpegang kepada prinsip bahasa, ia hanya berperanan sebagai perantara komunikasi. Tetapi jika kita cuba perhatikan peribahasa Bahasa Jiwa Bangsa, sesuatu yang mendalam maksudnya apabila kita mengaitkan dengan isu yang diutarakan pasti akan terlihat sesuatu yang amat signifikan terhadap peradaban dan akhlak bangsa Melayu itu sendiri tanpa prejudis terhadap garis umur dan tahap kehidupan.

Renung-renungkan.
(Artikel akan bersambung)

0 comments: